83.1 PERATUS LULUSAN KOLEJ VOKASIONAL DAPAT KERJA
21 Januari 2017 | Utusan Malaysia
21 Januari 2017 | Utusan Malaysia
JASIN 20 Jan. – Kebolehpasaran kumpulan pertama lulusan kolej vokasional mencatat satu pencapaian memberangsangkan apabila sebanyak 83.1 peratus yang menamatkan pengajian tahun lalu telah mendapat pekerjaan dalam bidang masing-masing.
Timbalan Pengarah Pembangunan Kejurulatihan Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV), Mohamad Samad berkata, bilang–an itu sekali gus melepasi sasaran 70 peratus yang ditetapkan dalam hala tuju penubuhan kolej berkenaan.
Menurutnya, kebolehpasaran itu juga membuktikan lulusannya mampu meme–nuhi keperluan industri di negara ini selepas mengikuti pengajian selama empat tahun di kolej vokasional.
“Pada tahun lalu, seramai 2,273 lulusan 15 kolej vokasional yang juga kumpulan pertama menamatkan pengajian dalam bidang kemahiran dan teknikal di peringkat diploma.
“Peratusan graduan mendapat pekerjaan dalam bidang pengkhususan mereka amat membanggakan dan kita berharap kebolehpasaran ini terus meningkat saban tahun di samping melahirkan pelajar yang kompeten dan memenuhi kehendak industri,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Vokasional Jasin dan pihak industri serta pelancaran Produk Minyak Wangi Malacca D'Essence, di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengarah Kolej Vokasional Jasin, Norhasnawati Zulkifli dan Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jasin, Abdullah Abdul Wahid.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, bagi memperkasakan usaha memastikan lulusan mendapat pekerjaan selepas tamat belajar, pihaknya amat menggalakkan jalinan kerjasama dengan syarikat swasta dan agensi kerajaan untuk menyediakan tenaga mahir yang memenuhi kehendak pasaran.
“Peluang ini juga membolehkan mereka mendapat pendedahan awal dalam industri sebelum berhadapan dengan alam pekerjaan sebenar,” katanya.