Friday, 1 May 2020

Kata Kata Aluan Pengarah






TN HARITH B ABD RAHMAN
PENGARAH
KOLEJ VOKASIONAL LEBUH CATOR
BERMULA  1 MEI 2020




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera,
Syukur kehadrat Illahi kolej ini berjaya melangkah setapak lagi ke hadapan seiring dengan era globalisasi dan dunia pendidikan tanpa sempadan melalui aplikasi laman web kolej. 
    Semua warga Kolej Vokasional Lebuh Cator berbangga dengan kemajuan dan tahap pencapaian teknologi maklumat di kolej ini. Banyak perkara-perkara baru yang diterokai hasil kerjasama warga pendidik untuk mempertingkatkan kemudahan Teknologi Maklumat Komunikasi (ICT).  Di antaranya pemasangan sistem kabel (cabling system) optik fiber untuk Sistem Rangkaian Sekolah dan sistem sokongan lain yang merangkumi keseluruhan kolej.
    Sebagai Pengarah, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk terus memainkan peranan penting dalam menghadapi cabaran ke arah arus perubahan keseluruhan sistem pentadbiran dan pengurusan kolej.  Justeru itu, usaha ini bertitik-tolak daripada laman web kolej yang juga merupakan tulang belakang sumber maklumat sekolah boleh diakses secara global di samping ianya lebih cepat, lebih jelas dan menarik.  Ini adalah di antara usaha yang telah dijalankan oleh pihak kolej untuk memaksimumkan penggunaan ICT dalam mentransformasikan warga kolej kepada masyarakat bermaklumat (knowledge-based society).
      Kepada warga pendidik, anda bukan lagi dilihat sebagai sumber utama untuk menyampaikan maklumat tetapi lebih sebagai pemudah cara. Sebagai pengurus pendidikan, sewajarnya pendidik mempunyai kebolehan dan kemahiran memperolehi maklumat daripada pelbagai sumber untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran ( P & P ) dan tahu menggunakan teknologi komunikasi seperti CD Rom, cakera padat, video, komputer, komputer bimbit, dan perisian-perisian aplikasi komputer seperti e-mail, pengkalan data, pemprosesan perkataan, hamparan eletronik, internet, perisian persembahan dan lain-lain.
     Kepada warga pelajar ambillah peluang ini dan segala kesempatan yang ada untuk meneroka, mengumpul maklumat, menganalisis dan mengapplikasikan dalam pembelajaran anda.  Kepentingan integrasi  teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam konteks pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dinafikan lagi  Persiapkanlah diri dengan kepakaran dan kelebihan dalam teknologi maklumat dan menjadi barisan hadapan teknokrat pada masa akan datang selaras dengan Visi kolej sebagai ‘Peneraju Pendidikan Vokasional dan Kemahiran Di Negeri Perak menjelang tahun 2023.
     Teknologi telekomunikasi dan multimedia pada masa kini digunakan secara global dan revolusi ini telah meresap ke semua sektor dalam kehidupan masyarakat.  Oleh itu seharusnyalah warga kolej menyesuaikan diri dengan segera kepada perubahan-perubahan untuk menghadapi suasana pembelajaran sepanjang hayat (long-life learning) dan peluang-peluang pembelajaran yang tidak ada had (unlimited learning access). Untuk mengharungi cabaran ini serta mencapai matlamat Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Gagasan 1 Malaysia, inisiatif untuk menengahkan Laman Web Kolej selari dengan pengintegrasian ICT dalam dunia pendidikan adalah tepat pada masanya. 
     Akhir kata syabas pada Jawatankuasa Laman Web Kolej Vokasional Lebuh Cator.  Teruskan usaha mengemaskini dan menyelenggara laman web dari semasa ke semasa dengan berkesan.