Saturday 8 December 2018

Sejarah Penubuhan KVLC



          Sejarah Penubuhan KVLC


         Sekolah ini ditubuhkan pada 1930 dan dikenali sebagai ‘Government Trade School. Pada peringkat awal penubuhannya, institusi ini hanya mengambil 28 orang pelajar sahaja. Tujuan penubuhannya ialah untuk mengisi tenaga kerja di Bengkel Pusat Kereta Api di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pada Tahun 1950, sekolah ini ditukarkan namanya kepada ‘Junior Technical Trade School’. Kursus yang ditawarkan ialah Kejuruteraan Mekanikal, Amalan bengkel Bata dan Kayu serta Kejuruteraan Elektrik dan Kimpalan.
           ‘Junior Trade School’ kemudiannya dinaikkan taraf kepada ‘Secondary Trade School’ pada 1 Januari 1963 dengan mengambil pelajar-pelajar lepasan tingkatan 3, di sekolah-sekolah akademik. Dua kursus baru telah diperkenalkan iaitu Automotif serta Servis Radio dan Televisyen.
         Sekali lagi nama sekolah ini ditukarjan kepada Sekolah Menengah Vokasional pada tahun 1968. Syarat minima kemasukan ialah pangkat S dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP), tetapi mesti lulus Bahasa Malaysia dan mana-mana dua mata pelajaran lain, dan salah satu daripadanya ialah Matematik, Sains atau Seni Ketukangan. Kursus yang ditawarkan mengambil masa dua tahun. Mereka akan menduduki Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPMV) pada akhir pengajian.
          Pada tahun 1988, Sekolah Menengah Vokasional, Ipoh menjadi perintis kepada dua aliran pendidikan iaitu Vokasional dan Kemahiran. Syarat minima kemasukan pada ketika itu ialah pangkat A atau B dalam Sijil Rendah Pelajaran untuk aliran vokasional manakala pangkat C atau S untuk aliran kemahiran.
         Bermula pada 1 Januari 1997, sekolah ini sekali lagi dinaikkan taraf kepada Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator, apabila menawarkan aliran-aliran Teknikal selain aliran Vokasional dan Kemahiran. Pada ketika itu, Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator, Ipoh menawarkan satu lagi aliran teknikal iaitu perdagangan, selain tujuh aliran Vokasional dan satu aliran Kemahiran iaitu ‘kursus Juruelektrik.
          Pada tahun 2010, sekali lagi Sekolah Menengah Teknik Lebuh Cator bertukar semula kepada Sekolah Menengah Vokasional yang lebih berfokus kepada bidang kemahiran. Kelas-kelas vokasional ditambahkan dan pengambilan pelaja-pelajar yang berteraskan kemahiran ditingkatkan manakala pengambilan pelajar tingkatan empat aliran teknikal dibekukan. Guru-guru juga turut dihantar menghadiri kursus-kursus mengikut bidang masing-masing bagi tujuan memrrtabatkan lagi bidang vokasional dan akhirnya dapat menyumbang kepada peningkatan pencapaian bidang vokasional dan pembangunan serta pendapatan Negara.
   Akhirnya, pada tahun 2013, sekolah ini dikenali sebagai Kolej Vokasional Lebuh Cator, ia menawarkan  7 program dengan diberi Persijilan Vokasional Malaysia (SVM), Persijilan Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM). Tempoh pengajian selama 4 tahun 6 bulan, perubahan ini selaras dengan Pelan Transformasi Pendidikan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.